DRAMA: BUKAN LALANG DITIUP ANGIN
“Bukan Lalang Ditiup Angin” merupakan salah satu karya salah seorang Sasterawan Negara iaitu Dato’ Noordin Hassan yang telah dihasilkan pada tahun 1969 dan dengan drama ini Dato’ Noordin Hassan telah membuka pintu teater moden Malaysia. Drama ini ditulis ketika beliau menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI). Drama ini telah dipentaskan oleh penuntut-penuntut maktab tersebut pada tahun pada tahun 1970 di Maktab Perguruan Sultan Idris dan di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1971. Drama-drama Dato’ Noordin Hassan ini banyak dipentaskan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada tahun 1972, Dato’ Noordin Hassan telah memenangi Hadiah Karya Sastera melalui dramanya ini.
Dato’ Noordin Hassan dilahirkan pada 18 Januari 1929 di Jalan Hatin, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Perak Road, Pulau Pinang. Kemudian beliau mengikuti kelas peralihan di Sekolah Inggeris Francis Light dan pada sebelah tengahari beliau mengikuti pendidikan agama di Masjid Rawana. Beliau telah menyambung belajar ke luar Negara dan mendalami kesusasteraan Inggeris. Pada tahun 1964, beliau dilantik sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Sultan Idris. Di maktab ini, beliau mementaskan beberapa buah drama seperti “Bukan Lalang Ditiup Angin”, “Tiang Seri Tegak Berlima” dan “Pintu”. Antara anugerah yang pernah diterima oleh beliau ialah anugerah bintang Ahli Mangku Negara oleh Yang di-Pertua Agong. Pada tahun 1993, beliau ditabalkan sebagai Sasterawan Negara
Drama karya Dato’ Noordin Hassan ini tidak mementingkan jalan cerita, tetapi mementingkan temanya. Tema utama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini ialah mengenai ketidakadilan sosial yang terjadi di Kampung Sukamenanti. Drama ‘Bukan Lalang Ditiup Angin’ adalah satu karya yang mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan pada zaman 1970an dan kemudiannya diterapkan di dunia teater untuk menjadi pengajaran serta panduan kepada para penonton. Drama ini berbentuk absurdisme. Absurdisme ialah konsep yang melambangkan masyarakat yang kacau-bilau. Hal ini disebabkan berlakunya perang dunia pertama dan kedua.
Dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”, Dato’ Noordin Hassan turut menghadirkan satu bentuk kombinasi antara teks rujukan dengan peristiwa sejarah yang menjadi sumber utama dengan terciptanya karya ini. Bagi pengarang, peristiwa ini tidak dilihat daripada makna yang sebenar, iaitu isu politik perkauman yang menggegarkan bumi Malaysia. Detik ini dilihat sebagai satu titik perubahan bagi menyedarkan masyarakat Melayu yang mengemis, serta menderita dan merintih di tanah air sendiri, dan inilah yang menjadikan drama ini begiti ideal lagi unggul.
Hal ini berikutan selepas terjadinya peristiwa 13 Mei 1969, ia merupakan satu peristiwa yang sangat ngeri yang telah berlaku di tanah air kita ini. Ia antara peristiwa yang mahu dipadamkan daripada sejarah negara pelbagai kaum ini. Tetapi sejarah tetap sejarah sifatnya. Drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” adalah reaksi awal golongan seniman terhadap tragedi ketegangan kaum 13 Mei.
Antara karya Dato’ Noordin Hassan ialah drama “Tiang Seri Tegak Berlima” (1975) dan drama “Pintu” (1975). Bagi Dato’ Noordin Hassan menulis adalah untuk menegakkan maruah, suatu pengabdian kepada bangsa dan mendapatkan keredaan Allah. Drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini tidak digerakkan oleh jentera sebab-musabab tetapi sekadar menimbulkan dialog atau perkataan yang secara teratur serta bertahap-tahap, membawa cerita kepada peleraiannya.
Drama ini secara ironisnya mendedahkan wajah masyarakat yang sebenar bertopeng di sebalik pembawaan awam menyerikan harmonis kehidupan bersama secara aman damai dan kesejahteraan. Oleh itu, kertas kerja ini akan membincangkan tema, pemikiran dan bahasa yang terdapat dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin”.
Batasan kajian yang telah digunakan oleh pengkaji ialah pengkaji telah menggunakan dua buah buku dan pengkaji telah menggunakan tiga laman sosial sebagai rujukan untuk menyiapkan tugasan ini. Antara tajuk buku yang digunakan sebagai bahan rujukan ialah “Bukan Lalang Ditiup Angin” dan “Noordin Hassan Dalam Esei Dan Kritikan”. Kedua-dua buah buku ini telah ditulis oleh Dato’ Noordin Hassan.
Tema utama drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini ialah mengenai ketidakadilan sosial yang terjadi di Kampung Sukamenanti. Drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” adalah satu karya yang mempunyai nilai-nilai kemasyarakatan pada zaman 1970an. Nilai kemasyarakatan yang bertemakan ketidakadilan sosial dapat dilihat dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” melalui penindasan golongan kaya terhadap golongan yang bawahan. Contohnya dapat dilihat melalui skrip drama berikut:
IHSAN: Aku memang telah aturkan semua; tapi aku tolong Budin;
sekarang dia pun tak terdaya. (Bibi telah pun masuk).
CULAN:Beri sedikit wang kepada Ihsan. Beritahu muda suruh
potong gajinya cukup bulan; bunga sama. (CULAN mula
berjalan keluar. BIBI pergi ambik wang. CULAN
berhenti. Menoleh). Bibi, jangan lupa bunganya sama.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 21)
Melalui skrip drama ini kita dapat melihat nilai kemasyarakatan yang bertemakan ketidakadilan sosial dalam sesebuah masyarakat. Hal ini dapat dilihat apabila Culan masih lagi menindas orang bawahannya atau pekerjanya iaitu Ihsan apabila mengenakan bunga terhadap setiap pinjaman yang telah diberikan. Hal ini juga akan menyebabkan orang bawahannya akan sentiasa berada dalam dilema kemiskinan.
Selain tema, pemikiran dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini dapat dilihat melalui tiga aspek iaitu aspek sosiobudaya, aspek sosioekonomi dan aspek sosiopolitik. Dalam melihat pemikiran, pemikiran adalah cetusan minda seseorang akibat daripada tekanan fonomena yang berlaku dalam masyarakat di sekelilingnya. Pemikiran juga merupakan anggapan pendapat ingatan yang dihasilkan dengan menggunakan akal fikiran. (Kamus Dewan, 1989:324). Pemikiran bukan tema tetapi merupakan keseluruhan makna yang tersirat yang menjadi aspirasi pengarang. Malah menurut Mana Sikana mengenai pemikiran (1989:2):
“Pemikiran adalah persoalan dan makna penting yang
tersembunyi dalam karya, berbeza dengan tema sebagai
pokok persoalan..”
Pemikiran yang pertama dapat dilihat dari aspek sosiobudaya. Aspek sosiobudaya ini dapat dilihat dari segi keagamaan. Pemikiran yang pertama ialah tentang masyarakat Melayu yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat dan kukuh. Sebagai umat Islam kita haruslah bersikap islamik, kita harus percaya pada kekuasaan-Nya. Contohnya terdapat dalam skrip drama berikut:
PELADANG 2: Kau siapa yang hendak menyoal tentang kuasa
dan perbuatan Tuhan? Jangan-jangan Tuhan pun
kau tak kenal.
PELADANG 1: Aku kenal dia. Tapi sekarang Tuhan sudah mati.
(Bukan Lalang Ditiup Angin : 38)
Berdasarkan contoh di atas jelas menunjukkan sikap sesetengah masyarakat Melayu yang tidak mempunyai pegangan agama yang kukuh. Mereka tidak mempunyai sifat ketaqwaan yang tinggi kepada Allah. Selain itu, mereka juga sering menyalahkan takdir di atas segala kejadian yang telah menimpa ke atas diri meraka. Sebagai umat Islam juga kita hendaklah percaya kepada qada dan qadar dalam kehidupan seharian.
Pemikiran kedua dari aspek sosiobudaya ialah sikap masyarakat Melayu yang suka menyerahkan nasib kepada takdir semata-mata. Mereka seolah-olah menerima sebulat-bulatnya apa juga kejadian yang menimpa keatas diri mereka. Takdir dilihat sebagai sesuatu yang tidak akan mengubah nasib mereka. Hal ini dapat dilihat berdasarkan skrip drama berikut:
PELADANG 1: Mengapa Tuhan tidak menggerakkan hati dia
supaya mengubah nasibnya? Mengapa Tuhan
tidak berbuat apa-apa? Seronok tengok saja apa
yang terjadi pada Ihsan?
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 38)
Melalui contoh di atas merupakan satu pemikiran yang berkemungkinan wujud pada masyarakat Melayu pada zaman itu yang suka berserah kepada takdir semata-mata. Masyarakat Melayu seharusnya mempunyai pemikiran yang bernas dan tidak memiliki pegangan agama yang nipis. Mereka seharusnya berusaha dengan lebih gigih untuk memajukan diri dan bangsa mereka.
Pemikiran yang seterusnya ialah dari segi aspek pendidikan. Masyarakat yang terdapat pada zaman 1970an ini, mereka tidak mempunyai tahap pendidikan yang tinggi. Pada zaman ini hanya anak orang berada sahaja akan dihantar ke sekolah. Oleh itu, orang kampung dengan mudah akan ditipu oleh orang yang berpendidikan tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan syair berikut:
Aduhai nasibnya Pak Leman,
Ayam menang anak tergadai,
Hilang isteri, kampung halaman,
Awak pulang kebuluran,
…
(Bukan Lalang Ditiup Angin : 7)
Syair di atas jelas menunjukkan tahap pendidikan yang ada pada orang kampung. Hal ini dapat dilihat pada watak Pak Leman yang telah diperbodohkan oleh orang ketika dia menyabung ayamnya. Ayamnya itu telah ditukarkan kepada pihak lawan dan kemudian ayamnya itu menang dan hal ini menyebabkan Pak Leman kehilangan kampung halaman, isteri dan anaknya. Ini jelas menunjukkan Pak Leman sebenarnya telah diperbodohkan oleh pihak lawan. Oleh itu, seseorang itu perlu mempunyai ilmu di dada supaya tidak mudah diperbodoh dan ditipu oleh orang lain atau pihak lawan.
Selain aspek sosiobudaya, pemikiran dari aspek sosioekonomi juga terdapat dalam drama ini. Tidak dapat dinafikan bahawa dalam kehidupan manusia, aspek ekonomi amat dititikberatkan. Semua manusia mengimpikan kemewahan dalam kehidupan. Kepentingan ekonomi untuk meneruskan hidup manusia dapat dilihat dalam drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini. Aspek sosioekonomi yang menjadi pemikiran pengkaji dalam drama ini adalah kemiskinan dan kemelaratan dan kekayaan.
Pemikiran yang pertama dari aspek sosioekonomi ialah golongan majikan yang selalu menindas orang bawahannya. Hal ini dapat dilihat pada watak Culan yang kaya-raya, tetapi langsung tidak mahu membela nasib pekerja-pekerjanya dan Culan juga boleh dilabelkan sebagai seorang majikan yang zalim. Dengan wang dan kuasa yang dimilikinya, Culan menjadi begitu angkuh. Lebih jauh daripada itu, segala usaha yang dibuat untuk menjatuhkannya, yang telah dibuat oleh Ihsan, Hadi dan Kintan dapat dipisahkan dengan kekuasaan serta kekayaan yang dimilikinya.
Hal ini dapat digambarkan bahawa masyarakat Melayu hidup melarat di tanah air sendiri. Mereka telah ditindas sewenang-wenangnya tanapa ada pembelaan yang sewajarnya. Selagi mereka tidak mengubah nasib, selagi itulah kehidupan mereka akan dibelenggu oleh kedaifan serta mudah diperkotak-katikkan oleh golongan yang berkuasa pada zaman tersebut. Hal ini sudah tentu akan menyedarkan masyarakat yang terlibat dengan wujudnya semangat untuk membebaskan diri daripada cengkaman dan penderitaan yang berlaku.
Selain tema dan pemikiran, bahasa yang digunakan oleh pengarang cukup mempunyai nilai estetika yang tinggi. Bahasa merupakan satu medium dalam mentranformasikan pelbagai maklumat. Karya sastera yang bersifat kreatif dan imaginatif, menggunakan bahasa sebagai wahana penting untuk membangkitkan kesan kepada setiap pembaca atau khalayak. Hal ini demikian kerana bahasa sastera terikat kukuh dengan mekanisme emosinya yang menjadi penunjang keistimewaan genre sastera.
Drama bentuk absurd ini, pengarang biasanya menggunakan dialog formal kolokial iaitu mencantumkan prosa puisi formal dengan prosa kolokial. Dialog prosa formal ialah menggunakan bahasa kiasan, perbandingan, aforisme dan epigram. Manakala, dialog puisi formal menggunakan pola irama puisi tradisional seperti pantun, syair, gurindam, seloka dan sebagainya. Oleh itu, ia mencantumkan gaya lama dan gaya baru. Drama absurd sesuai menggunakan stail ini kerana drama ini bercorak simbolik, surealisme dan absurdisme.
Drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini telah memasukkan dialog puisi formal iaitu telah memasukkan beberapa syair di dalamnya. Contohnya syair nasib untung yang menceritakan tentang peristiwa Pak Leman yang telah ditipu oleh raja ketika menyabung ayam. Hal ini dapat dibuktikan dalam syair tersebut:
Aduhai nasibnya Pak Leman,
Ayam menang anak tergadai,
Hilang isteri, kampung halaman,
Awak pulang kebuluran,
Hidup menjudi nasib,
Mati apa kadarnya,
Masa belayar kematian angin,
Motor sangkut tak ada minyak.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 8)
Ini menunjukkan pengarang telah mencantumkan gaya lama dan gaya baru dalam drama ini. Selain itu, unsur dialog prosa formal yang digunakan pengarang adalah seperti berikut:
HADI: …Hadi mengusap air mata Kintan. Lampu kian pudar.
Mereka berjalan keuar dalam pelukan kasih.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 18)
Petikan ini menunjukkan pengarang telah memasukkan unsur romantik iaitu mengenai kisah percintaan Hadi dan Kintan. Di samping itu, pengarang juga banyak menggunakan gaya bahasa dalam penulisan skrip drama ini. Contohnya pengarang menggunakan gaya bahasa paradoks. Paradoks bermaksud suatu pernyataan yang sekali imbas kelihatan bertentangan atau kedegaran agak aneh bunyinya, namun pada hakikatnya ia menunjukkan suatu kebenaran fakta dalam kehidupan seharian manusia. Hal ini dapat dibuktikan dalam petikan tersebut:
PELADANG 1: … Satu malam, wah, Ihsan hampir-hampir
bergirang-sedih, penuh senyum manis pahit bila
dia bercerita (Muzik mengiring).
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 47)
Paradoks yang terdapat dalam petikan tersebut ialah bergirang-sedih dan manis pahit. Kedua-dua menunjukkan perbezaan yang berlainan sekali. Pengarang menggunakan gaya bahasa ini untuk memperindahkan skrip drama ini. Selain gaya bahasa paradoks, pengarang juga telah menggunakan gaya bahasa lain iaitu similie. Similie bermaksud membandingkan sesuatu keadaan, suasana, peristiwa atau benda yang lain atau perbandingan dua hal yang hakikatnya berlainan tetapi dianggap sama. Ia boleh dikenal dengan penggunaan kata seperti, bak, umpama, laksana, ibarat. Hal dapat dilihat dalam petikan tersebut:
PELADANG 1: Ihsan ternanti-nanti kedatangan Hanum seperti
bayi lapar menanti susu, cuma tidak dijeritkan
dengan jasad saja.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 48)
Petikan di atas telah menunjukkan penggunaan gaya bahasa similie iaitu seperti bayi lapar menanti susu. Pengarang menggunakan unsur gaya bahasa ini untuk membandingkan perwatakan Ihsan yang begitu memerlukan kehadiran seorang wanita dalam hidupnya selepas kematian isterinya iaitu Ning. Kehadiran seseorang wanita amat diperlukan oleh seseorang lelaki untuk memberi sokongan moral kepadanya. Terdapat juga satu pepatah yang mengatakan kejayaan seseorang lelaki mempunyai seorang wanita dibelakangnya.
Seterusnya pengarang juga telah menggunakan unsur simbol atau lambang dalam penulisan skrip drama ini. Simbol bermaksud penggunaan kata-kata yang melambangkan atau menunjukkan atau menggambarkan sesuatu objek atau hal yang lain daripada makna asalnya. Sesuatu objek atau hal yang dikatakan simbol itu membawa erti lebih daripada apa yang sebenarnya. Hal ini dapat dilihat melalui petikan tersebut:
P. LEMAN: Hamba ini fakir, nak buat bertih pun tak berpadi.
Sekarang, langit saja yang jadi bumbung.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 10)
Langit saja yang jadi bumbung merupakan satu simbol iaitu Pak Leman tidak mempunyai rumah atau tempat tinggal kerana dia telah kalah dalam pertandingan menyabung ayam menyebabkan kampungnya tergadai. Langit itu dilambangkan sebagai atap kerana dia tidak mempunyai rumah lagi untuk berteduh. Simbol yang seterusnya dapat dilihat petikan tersebut:
IHSAN: Aku berbangga dengan kau, kau muda hanya umurmu
saja. Aku ada bersama. Tapi aku bukanlah panglima
gagah…
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 34)
Panglima gagah di dalam petikan di atas menunjukkan bahawa Ihsan bukan seorang yang kuat atau mempunyai perwatakan sebagai pahlawan yang akan membela atau melindungi mereka daripada terus ditindas oleh orang yang tidak berperikemanusiaan iaitu Culan. Simbol yang seterusnya adalah seperti berikut:
PELADANG 1: … Dia sungguh sayang pada Ning. Mati Ning,
Ihsan pula mula mati. Sekarang dia lemah. Malu.
Tetapi bila aku beritau di mana isteri mudanya
ada, tiba-tiba dia menjadi harimau.
(Bukan Lalang Ditiup Angin: 46)
Harimau dalam petikan di atas merupakan simbol kemarahan yang dihadapi oleh Ihsan. Ihsan menjadi marah apabila mengetahui di mana isteri mudanya berada. Harimau merupakan seekor binatang yang garang dan buas. Hal ini menyebabkan pengarang menggunakan simbol harimau sebagai simbol kemarahan Ihsan.
Secara kesimpulannya, drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini berbentuk absurd. Biasanya drama berbentuk absurd ini sukar difahami kerana ia banyak menggunakan simbol atau lambang-lambang. Tema drama ini ialah mengenai ketidakadilan sosial yang terjadi di Kampung Sukamenanti. Selepas membicarakan tema, terdapat juga pelbagai persoalan yang diungkapkan oleh pengkaji.
Pengkaji telah mengungkapkan persoalan melalui tiga bahagian iaitu dari segi budaya, ekonomi dan politik. Ketiga-tiga bahagian ini mempunyai persoalan yang tersendiri. Selain tema dan persoalan pengkaji juga mengkaji gaya bahasa yang terdapat dalam skrip drama “Bukan Lalang Ditiup Angin” ini. Terdapat pelbagai gaya bahasa yang digunakan dalam drama ini antaranya ialah paradoks, simbol, lambang dan sebagainya. Bahkan skrip drama ini sarat dengan sarat dengan makna dan pemikiran yang diolah dan diadun dengan kata-kata terpilih sehingga meninggalkan kesan kepada pembaca.
Melalui drama ini Dato’ Noordin Hassan ingin memberikan kesedaran kepada masyarakatnya yang masih yang masih dibelenggu oleh kemiskinan, baik dari segi material atau keagamaan. Hasilnya, teks ini telah terjelma sebagai karya yang mempunyai nilai yang tinggi kepada bangsa Melayu itu sendiri, dan meletakkan teks ini ke dalam cirri-ciri keunggulan.
Rujukan
Arba’ie Sujud, Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, Asiah Abdul Rahman, 2010. Sastera
Melayu Suatu Pengantar. Kuala Lumpur: Tinta Press Sdn. Bhd.
Halilah Haji Khalid, 2007. Noordin Hassan dalam Esei dan Kritikan. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Noordin Hassan, 1979. Bukan Lalang Ditiup Angin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sohaimi Abdul Aziz, 2003. Sasterawan Negara Noordin Hassan. Pulau Pinang: Penerbit
Universiti Sains Malaysia.
SASTERA KETATANEGARAAN
Kesusasteraan Melayu tradisional merupakan kesusasteraan yang tidak sahaja menyentuh perkara-perkara seni sastera contohnya puisi, prosa dan keindahan lainnya, tetapi lebih jauh daripada itu ia juga merupakan sastera ketatanegaraan. Sastera ketatanegaraan merupakan ciri penting dalam sejarah kesusasteraan Melayu tradisional yang masih belum diterokai sepenuhnya oleh para sarjana. Sastera ketatanegaraan merupakan teks yang berkaitan dengan raja-raja dan pemerintahannya. Ramai sarjana orientalis memasukkannya di bawah sastera pengaruh Islam.G.E Marrison dalam rencananya “Persian influences in Malay life” (1280-1650) menamakannya sebagai “Book of instruction for princes.” L.F Brakel dalam rencanya “Persian influences on Malay literature” dalam Abr-Nahrain, jil 9,1969, halaman sembilan menganggapnya sebagai sastera Adab (Zalilah Sharif dan Jamilah Haji Ahmad 1993). Dua buah karya sastera ketatanegaran yang terkenal ialah Taj al-salatin karya Bukhari al-Jauhari dan Bustan al-salatin karya Syeikh Nuruddin al-Raniri, merupakan sastera ketatanegaraan yang amat rapat hubungannya dengan masyarakat Melayu (Zalilah Sharif dan Jamilah Haji Ahmad 1993). Sastera ketatanegaraan ini merupakan karya yang menjadi petunjuk kepada golongan raja-raja dari segi mentadbirkan negara. Ia berbeza dengan sastera sejarah kerana sastera sejarah sebenarnya menceritakan sejarah sesuatu Negara dan adat-istiadatnya, termasuk cara mentadbirkan sesuatu negara. Tetapi sastera ketatanegaraan bukan objek sejarah yang dipentingkan, sungguhpun ada unsur-unsurnya, tetapi penerangan secara naratif tentang cara mentadbirkan negara berdasarkan contoh raja-raja zaman dahulu mentadbir negara, khasnya raja-raja Timur Tengah.
Jesteru kertas kerja ini akan membincangkan konsep, ciri dan fungsi yang terdapat dalam sastera ketatanegaraan. Konsep sastera ketatanegaraan yang akan dibincangkan ini tidak hanya terhad kepada karya yang menerima pengaruh tradisi Parsi. Rumusan bahawa karya adab ketatanegaraan memerihalkan sistem pentadbiran kesultanan Melayu agak janggal kerana sebahagian besar daripada isi karya tersebut berorientasikan sistem pemeritahan kerajaan Islam di Timur Tengah. Walaupun karya tersebut ditulis dalam bahasa Melayu, oleh pengarang Melayu, untuk raja Melayu, dan mengandungi serba sedikit kaitan dengan sistem pentadbiran istana Melayu, tetapi hakikatnya karya tersebut bermodelkan sistem kesultanan negara Islam di Tanah Arab, Parsi atau India. Hal tersebut meluaskan kaedah kajian kearah penelitian semula terhadap beberapa bentuk karya yang dapat dianggap benar-benar lahir daripada warisan Kesultanan Melayu. Karya yang dimaksudkan ialah karya yang mempunyai ciri yang berkaitan dengan pentadbiran istana Melayu, sama ada secara langsung atau tidak langsung, meliputi segala peraturan dan adat istiadat raja dan para pembesar istana. Antara bentuk tulisan yang mempunyai maklumat tentang sistem pentadbiran negara di alam Melayu ialah karya historiografi, kanun undang-undang tubuh negeri dan surat-surat diraja.
Batasan kajian yang telah digunakan oleh pengkaji ialah pengkaji telah menggunakan empat buah buku kesemuanya dan pengkaji telah menggunakan tiga laman sosial sebagai rujukan untuk menyiapkan tugasan ini. Antara tajuk buku yang digunakan sebagai bahan rujukan ialah “Pemikiran Adab Ketatanegaraan Kesultanan Melayu” oleh Jelani Harun, “Taj al-salatin karya Bukhari al-Jauhari, Nasihat al-Muluk oleh Imam al-Ghazali dan Bustan al-salatin” karya Syeikh Nuruddin al-Raniri.Berdasarkan bahan rujukan tersebut dapatlah pengkaji menghuraikan sedikit sebanyak tentang tajuk tugasan ini iaitu “Sastera Ketatanegaraan”.
Ketatanegaraan ialah suatu istilah yang merujuk secara khusus hal yang berkaitan dengan susunan atau bentuk pemerintahan sesebuah negara. Semua perkara yang berkaitan dengan peraturan pentadbiran atau pengurusan sesebuah negara termasuk dalam lingkungan makna ketatanegaraan. Pengertian umum tentang perkataan “ketatanegaraan” di atas bersesuaian dengan ciri asas penulisan sekumpulan karya kesusasteraan Melayu yang khusus berkaitan dengan persoalan pentadbiran atau pemerintahan sesebuah negara. Antara karya yang dimaksudkan ialah Taj al-Salatin dan Bustan al-Salatin. Walau bagaimanapun, inti pati penulisan karya yang berkenaan bukanlah suatu undang-undang atau peraturan yang telah digubal melalui ketetapan sistem politik sesebuah negara, sebaliknya lebih bercorak memberi panduan atau nasihat kepada para pemerintah tentang cara pentadbiran negara yang baik. Berdasarkan prinsip memberi panduan dan nasihat ini, karya tersebut digolongkan sebagai genre adab ketatanegaraan, dalam erti kata pengarang bukan sahaja menyatakan peraturan pemerintahan, tetapi pada masa yang sama menasihati para pemerintah tentang adab menjadi raja atau pembesar yang baik.
Pada dasarnya, tradisi penulisan karya ketatanegaraan Melayu bukan tradisi yang asli daripada pengarang Melayu, sebaliknya merupakan saduran atau pengaruh tradisi Arab dan Parsi. Sehingga kini, Taj al-Salatin masih dianggap sebagai karya ketatanegaraan Melayu yang pertama. Karya tulisan Bukhari al-Jauhari dari Acheh pada 1603 tersebut tidak memperlihatkan ciri kepengarangan Melayu seperti yang terdapat dalam karya hikayat atau sastera sejarah, sebaliknya memperlihatkan pengaruh yang ketara daripada tradisi penulisan karya Arab dan Parsi. Dapatan daripada kajian yang lebih mendalam tentang kesusasteraan Arab dan Parsi tersebut menunjukkan bahawa ciri karya ketatanegaraan seperti yang terdapat dalam Taj al-Salatin menyamai ciri karya yang dikenali sebagai “Mirrors for Princes” atau “Mirrors for Rulers” (Cermin Nasihat kepada Raja-Raja) dalam tradisi kesusasteraan Islam-Parsi.
“Mirrors for Rulers” atau “Mirrors for Princes” ialah nama khas yang muncul dalam kesusasteraan Barat khusus merujuk sekumpulan karya yang memiliki ciri penulisan yang berkaiatan dengan panduan atau nasihat pemerintahan kepada seseorang raja. Menurut Dankoff (1983:4), karya “Mirrors for Rulers” dapat diertikan sebagai advice on how to rule. Dalam kesusasteraan Islam, antara karya yang dimaksudkan termasuklah Qabus-nama, Nasihat al-Muluk, Siyar al-Muluk, Akhlak al-Muhsini, Akhlak al-Nasiri dan beberapa contoh lain. Isi kandungan semua karya berkenaan jelas mengandungi pelbagai panduan dan nasihat kepada raja dan pembesar negara dalam urusan pentadbiran negara.
Tradisi penulisan karya “Mirrors for Rulers” menunjukkan bahawa karya tersebut bukan dihasilkan oleh rakyat biasa, sebaliknya merupakan hasil nukilan dan pemikiran pengarang yang mempunyai kedudukan tertentu di istana. Antara pengarang berkenaan, ada yang bertugas sebagai menteri, penasihat sultan, setiausaha atau sekurang-kurangnya sebagai penulis rasmi di istana. Hal ini berkaitan secara terus dengan isi kandungan karya berkenaan yang berhubung dengan soal pentadbiran dan adat istiadat atau peraturan di istana. Hanya pengarang yang mempunyai pengetahuan atau pengalaman tertentu tentang sejarah, adat istiadat dan urusan pemerintahan negara yang mampu menulis kisah yang berkaitan dengan pentadbiran istana.
Di samping menyatakan peraturan istana, pengarang karya ketatanegaraan juga menyampaikan nasihat moral kepada para pemerintah, khususnya yang berlandaskan ajaran Islam. Setiap nasihat yang diutarakan harus disokong dengan petikan ayat al-Quran, hadis atau kata ulama yang tertentu agar nasihat berkenaan dapat meninggalkan kesan di hati raja atau para pembesar. Hal ini secara langsung menunjukkan bahawa pengarang karya ketatanegaraan merupakan seseorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi sehingga membolehkan mereka memetik ayat al-Quran atau hadis yang bersesuaian dengan nasihat yang ingin disampaikan.
Lebih jauh daripada itu, pengarang karya ketatanegaraan juga harus memiliki pengetahuan yang luas tentang kesusasteraan dan sejarah, khususnya yang berkaitan dengan cerita moral dan teladan. Sebahagian daripada cerita yang terdapat dalam karya ketatanegaraan bersumberkan kisah-kisah nabi dan aulia serta catatan sejarah masa silam. Sebahagiannya pula bersumberkan kisah dan pengalaman yang berlaku dalam sejarah Islam yang lebih baharu sifatnya. Dalam konteks ini, seseorang pengarang memerlukan daya penghayatan dan kehalusan persepsi dalam memilih mana-mana cerita yang bersesuaian untuk mengukuhkan sesuatu nasihat yang diberi. Ketelitian pengarang memilih cerita nasihat yang bersesuaian akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada tanggapan para pembaca terhadap sesuatu nasihat yang tersurat mahupun yang tersirat.
Secara umum, sesebuah karya ketatanegaraan dimulakan dengan bahagian mukadimah atau pengenalan karya. Dalam bahagian tersebut, pengarang akan menyatakan nama, asal-usul, jawatan dan tujuan menulis karya berkenaan. Biasanya bahagian mukadimah hanya dibuat secara ringkas dan tidak melibatkan ruang yang panjang. Selepas bahagian mukadimah, pengarang karya “Mirrors for Rulers” akan memberikan ruangan khusus untuk memberikan puji-pujian terhadap Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w. dan nabi-nabi yang lain. Terdapat juga pengarang yang mengaitkan puji-pujian terhadap Tuhan dan nabi dengan persoalan kepatuhan manusia terhadap Allah, tentang iman dan kufur, tentang pahala dan dosa, tentang ganjaran dan pembalasan, tentang syurga dan neraka.
Contoh yang jelas dapat dilihat dalam Qabusnama, Siyar al-Muluk dan Nasihat al-Muluk. Dalam ketiga-tiga karya “Mirrors for Rulers” tradisi Parsi terdapat mukadimah yang memberi maklumat penting tentang latar belakang penulisan karya dan seterusnya diikuti dengan puji-pujian pengarang terhadap kebesaran Allah s.w.t., Nabi Muhammad s.a.w dan beberapa nabi lain. Mukadimah Siyar al-Muluk misalnya, dimulakan dengan tujuan penulisan karya, diikuti dengan senarai tajuk utama yang terdapat dalam karya dan seterusnya kata-kata pujian pengarang terhadap kebesaran Allah s.w.t.
Bahagian isi biasanya mengambil ruang yang besar dalam sesebuah karya. Pengarang “Mirrors for Rulers” tradisi Arab dan Parsi biasanya membahagikan isi karya kepada beberapa bab atau fasal yang membicarakan tajuk yang tertentu seperti tajuk tentang raja, wazir, pembesar dan sebagainya. Malahan, terdapat juga karya yang mempunyai bab atau fasalyang lebih umum sifatnya seperti tentang pemakanan, kesihatan, kesenian, perkahwinan dan sebagainya. Hal ini menunjukkan bahawa aspek nasihat kepada pemerintah yang terdapat dalam karya “Mirrors for Rulers” bukan hanya terhad pada peraturan pentadbiran negara, tetapi meliputi aspek adat istiadat dan urusan kehidupan harian seseorang raja.
Contoh yang jelas tentang pembahagian isi karya terdapat dalam Qabusnama. Karya tersebut terdiri daripada 44bab yang meliputi pelbagai tajuk tentang kebesaran Tuhan, ciri raja, pembesar, adab ketika makan, perkahwinan, sains dan sebagainya. Di samping itu, karya berkenaan juga mempunyai bab tertentu yang membicarakan panduan dan peraturan tentang sifat keadilan raja dan pembesar negara.
Ciri pertama yang terdapat dalam sastera ketatanegaraan ialah memberikan nasihat dan tanggungjawab kepada raja-raja dalam mentadbir sesebuah negara. Dalam Nasihat al-Muluk turut menyelitkan beberapa nasihat kepada raja. Menurut Imam al-Ghazali, raja hendaklah menjauhkan diri dari membuat kezaliman kerana boleh merenggangkan hubungan dengan rakyat jelata. Seterusnya, intipati dalam Nasihat al-Muluk menerangkan tentang sifat seorang raja mestilah seorang yang bersikap adil dan saksama dalam membuat sesuatu keputusan agar tiada orang yang teraniaya. Kesilapan dalam membuat keputusan akan menyebabkan sesebuah kerajaan akan mengalami kejatuhan. Hal keadilan dapat dilihat dalam hadis berikut:
Dan sabda nabi alaihissalam, “Terlebih dikasihi orang itu pada Allah taala dan terlebih hamper mereka itu segala raja-raja yang adil, dan terlebih dibenci akan mereka itu pada Allah taala dan terlebih jauh mereka itu segala raja-raja yang aniayanya.” (Nasihat al-Muluk:118)
Konsep ketatanegaraan mempunyai hubungan rapat dengan antara raja dengan rakyat. Kesalahan pentadbiran daripada pihak raja menyebabkan negeri yang diperintah akhirnya membawa kehancuran walaupun sebelumnya sebuah negara yang kuat.
Selain itu, Nasihat al-Muluk juga membincangkan peranan akal. Menurut Imam al- Ghazali, pemerintah yang baik ialah pemerintah yang berakal dan menggunakan akal dalam membuat keputusan. Imam al-Gahazali turut mengisahkan kemuliaan akal dan berakal dengan mengemukakan kisah Khaifah Ma’mun. Khaifah Ma’mun telah menulis sepucuk surat kepada Nursirwan Adil tentang kelebihan akal. Pemerintah disaran mengunakan akal fikiran semasa memerintah supaya wujud keadilan kepada rakyat. Keadilan raja bukan saja terhad dalam membuat keputusan tetapi melibatkan segala aspek kehidupan seperti makan minum, keluarga dan tempat tinggal, dan keadilan batiniah.
Seterusnya, Imam al- Gahazali menasihatkan raja agar tidak bertuhankan nafsu syahwat dan kusar. Beliau menjelaskan lagi, adil ialah mempunyai akal yang sempurna. Nasihat al-Muluk juga banyak menerangkan beberapa bentuk keadilan sebagai panduan kepada raja yang memerintah. Antaranya ialah raja harus memahami tugas dan tanggungjawab. Apabila seseorang putera raja ditabalkan menjadi raja, raja wajib mengetahui peranan dan tanggungjawabnya. Kedudukannya bukan saja sebagai ketua pemerintah dengan mengeluarkan segala arahan tetapi bertanggungjawab kepada Allah S.W.T yang memberikan amanah kepadanya. Segala perbuatan raja semasa memerintah rakyatnya dinilai baik dan buruk.
Seterusnya, raja juga dinasihati supaya menghormati ulama. Sebagai seorang raja yang menerima amanah dari Allah S.W.T, pemerintah hendaklah sentiasa patuh dan menurut segala ajaran Islam dengan mempelajari ilmu agama dan mendapat nasihat dari mualim. Panduan dan nasihat yang diberikan oleh ulama dapat membentuk sebuah negara mengikut syariat Allah S.W.T.
Disamping itu, raja harus mengadili pertikaian rakyat dengan seadil-adilnya. Contohnya Raja Anursyarwan telah menyelesaikan pertikaian rakyatnya berkaitan dengan penemuan harta yang terdapat dalam sebidang tanah yang telah dijual oleh seorang rakyatnya kepada sahabatnya. Masing-masing tidak mahu menerima harta tersebut berada di situ sebelum dijual, manakala penjual tidak mahu menerimanya dengan alasan tanah tersebut telah dijual. Raja Anusyarwan telah menyelesaikan pertikaian tersebut dengan cara mengahwinkan anak mereka.
Raja juga dinasihatkan supaya memiliki sifat kasih terhadap rakyat jelata. Sifat kasih tersebut akan menjadikan raja sentiasa memikirkan kesejahteraan hidup rakyat. Sifat kasih akan menjadikan raja sentiasa sabar, pemurah, tidak membebankan rakyat dengan cukai, bersifat pemaaf dan sebagainya. Sebagai kesannya, rakyat juga akan mengasihi raja yang berkenaan dan sentiasa mendoakan kebahagiaan raja tersebut.
Bahawa jangan suka pada mengangkatkan tanganmu (raja) daripada aniaya tetapi kau ringankan akan segala hambamu itu, dan segala taulanmu, dan segala yang bekerja padamu, dan segala yang menolong padamu, dan yang menunggu pintumu. (Nasihat al-Muluk, MS Dc.6.73-74:128)
Bukan sahaja raja, pembesar juga turut diberi nasihat. Para pembesar merupakan orang yang paling hampir dengan raja, dikurniai pelbagai pangkat, gelaran dan harta benda oleh raja. Sebahagian daripada para pembesar berkenaan mencipta nama yang gemilang dalam perjalanan sejarah negeri Melaka seperti Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah. Di samping menjalankan tugas dan mesyuarat rasmi di balairung seri istana, raja turut mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pembesar yang mendapat kepercayaannya tentang segala hal yang berkaitan dengan urusan kehidupannya. Biasanya, pembesar yang menjadi penasihat peribadi tersebut merupakan orang yang paling rapat.
Selaku pembantu raja terutama dalam pentadbiran negara, pembesar memikul tugas dan tanggungjawab yang berat, dalam erti kata keteguhan dan keamanan sesebuah negara bukan hanya terletak di bahu raja tetapi juga di bahu pembesar. Dalam memikul tugas tersebut, pembesar harus nemiliki kualiti peribadi yang tertentu. Orang yang bijaksana juga dikaitkan dengan ketinggian akal budi dalam penampilan peribadi seperti memiliki kehalusan bahasa pertuturan, ketelitian pemikiran, kesabaran hati dan sebagainya. iaitu seseorang menteri akan dipandang mulia kerana kebijaksanaannya, memahami kehendak rakyat, tidak tamak harta dunia. Menteri mestilah seorang yang adil dan tidak melakukan kezaliman dengan membunuh orang yang tidak berdosa, merampas harta yang dipusakai oleh rakyat sebaiknya mereka menjaga kebajikan rakyat agar mereka dipandang tinggi oleh masyarakat. Contohnya, kisah kebijaksanaan Tun Perak membawa orang dari Klang “dengan segala anak perempuannya sekali” untuk memberi semangat kepada tentera Melaka berperang melawan dan menewaskan serangan Siam. Berkat kebijaksanaan itu, Tun Perak mula mendapat perhatian sultan Melaka sehingga akhirnya dilantik menjadi bendahara Melaka.
Selain raja dan pembesar, rakyat juga diberi nasihat. Bukhari al-Jauhari menasihati rakyat agar patuh kepada pemerintah sama ada dari segi kata-katanya ataupun perbuatannya, “Seperkara kami turut akan dia pada segala katanya dan kedua perkara kami turut akan dia pada segala pekerjaan.” (Khalid, 1992:47). Nasihat agar rakyat mematuhi perintah raja turut mendapat perhatian Nuruddin al-Raniri dalam bab III Bustan al-Salatin. Menurutnya, setiap orang wajib mengikut perintah raja. Rakyat yang tidak menurut perintah raja dianggap penderhaka. Pandangan Nuruddin al-Raniri disokong pula dengan petikan beberapa hadis. Antara hadis tersebut adalah seperti yang berikut:
Fardu atas segala orang Islam mendengar kata rajanya dan berbuat bakti akan dia serta mengikut barang suruhannya, pada barang kesukaan atau kebajikannya, melainkan jika disuruhnya berbuat derhaka akan Allah taala, maka jangan didengarkan dan jangan ia mengikut suruhannya. (Bustan al-Salatin, UM MS 41:296)
Ciri yang seterusnya ialah mengandungi ilmu firasat yang tinggi. Banyak dimasukkan petikan-petikan dari ayat al-quran dan hadis-hadis nabi. Kewujudan ilmu firasat dalam sastera ketatanegaraan bukan sahaja memperlihatkan kelebihan dan ketinggian ilmu seseorang tokoh, tetapi juga mengandungi pelbagai pengajaran, nasihat dan panduan tentang akal budi, tatasusila kesopanan dan adab tingkah laku manusia.
Ilmu firasat juga terdapat dalam Bustan al-Salatin iaitu terdapat pada bab VII. Ia terbahagi kepada empat bahagian utama. Bahagian pertama, Nuruddin al-Raniri menumpukan perhatian pada definisi dan pembahagian umum tentang ilmu firasat. Menurut Nuruddin al-Raniri, ilmu firasat ialah ilmu yang berkaitan dengan kaedah atau cara-cara untuk mengetahui kelakuan zahir dan batin manusia berdasarkan bukti tertentu (dalil dan kias). Kaedah untuk mengetahui kelakuan manusia itu terbahagi kepada dua bahagian iaitu firasat “hakimi” dan firasat “shar’i”. Hal ini dinyatakan oleh Nuruddin al-Raniri dalam bahagian tajuk fasal tentang firasat:
Fasal yang kedua pada menyatakan ilmu firasat iaitu rencana daripada mengambil dalil dan kias dengan dia daripada kelakuan zahir kepada kelakuan batin. Mereka itu terbahagi atas dua bahagian: Pertama-tama hakimi, kedua shar’i. (Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600:32)
Bahagian kedua huraian tentang ilmu firasat terdapat pelbagai petikan yang berkaitan dengan firasat yang diambil daripada al-Quran, hadis dan kata orang bijak pandai. Petikan tersebut memainkan peranan yang sangat penting sebagai bukti nyata tentang kewujudan firasat sebagai suatu bentuk ilmu dan tradisi keilmuan Islam. Antara contoh petikan al-Quran dan hadis yang berkaitan dengan ilmu firasat tersebut adalah seperti yang berikut
Petikan al-Quran (Surah al-Fath:29):
“Tanda bahagia mereka itu kelihatan pada muka merekaitu daripada bekas sujudnya”.
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600:33)
Petikan hadis:
“Bahagia bagi laki-laki itu yang nipis janggutnya”.
(Bustan al-Salatin, SOAS MS 35600:33)
Selain itu, ciri yang seterusnya ialah kewujudan cerita nasihat dalam Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas turut menepati prinsip kesusasteraan Parsi terutamanya berteraskan karya “Mirrors for Princes”. Dalam kitab tersebut, pengarang cenderung untuk menasihati raja dan para pembesar Riau melalui petikan ayat al-Quran, hadis daan juga cerita nasihat yang diambil daripada khazanah kesusasteraan Islam khususnya yang berkaitan dengan kisah raja, pembesar, ahli bijak pandai dan tokoh Parsi. Besar kemungkinan cerita teladan dalam Kitab Kumpulan Ringkas Berbetulan Lekas disalin secara terus daripada Taj al-Salatin atau Bustan al-Salatin.
Hal ini memberikan andaian bahawa tradisi bahawa tradisi memetik cerita teladan untuk raja yang terdapat dalam tradisi kesusasteraan Parsi berkembang dalam Taj al-Salatin atau Bustan al-Salatin dan seterusnya dihidupkan oleh Raja Ali melalui karyanya. Antara cerita yang dipercayai bersumberkan Taj al-Salatin atau Bustan al-Salatin ialah cerita Nusyirwan Adil mendapat nasihat daripada wazirnya yang bernama Yunan, cerita Iskandar Zulkarnain tentang kepentingan sifat adil dan sebagainya.
Berdasarkan ciri-ciri yang telah dibincangkan di atas, sastera ketatanegaraan ini berfungsi sebagai memberi panduan kepada golongan raja dan pemerintah. Golongan raja dan pemerintah harus menjadikan karya sastera ketatanegaraan sebagai panduan dalam menjalankan pentadbiran dan pemerintahan negeri. Misalnya dalam soal hubungan antara rakyat dengan pemerintah dan tanggungjawab pembesar- pembesar negeri dalam mentadbirkan negeri. Contohnya raja harus sentiasa mengetahui keadaan hidup rakyat dengan cara melihat sendiri corak kehidupan mereka. Justeru, pada waktu tertentu raja harus keluar dari istana dan memeriksa kehidupan rakyat jelata di luar kawasan istana.
Setelah melihat sendiri kehidupan rakyat akan memberi lebih maklumat tentang permasalahan ataupun keperluan yang dikehendaki oleh rakyat jelata secara terus tanpa melalui perantaraan para pembesar istana.
Nasihat: Seyogianya bagi segala raja-raja yang adil, mengambil ibarat dan insaf pada mendengarkan hikayat ini dan jangan lalai daripada mengambil khabar segala hamba Allah yang teraniaya daripada yang menganiaya dan memenuhi kehendak segala hamba Allah supaya dipenuhi Allah taala segala kehendaknya.
(Bustan al-Salatin. UM MS 41:464)
Fungsi yang seterusnya ialah sebagai panduan kepada seluruh masyarakat dalam hal-hal seperti cara mendidik anak, menjaga kesihatan, pekerti yang baik dan tanggungjawab hubungan sesama manusia. Antara panduan yang diberikan berdasarkan Nasihat al-Muluk adalah panduan menjaga kesihatan mata, hendaklah sentiasa melihat sesuatu yang berwarna hijau, air yang mengalir, minum minuman yang hening dan melihat wajah manusia yang tenang. Bagi mengelak dari terkena penyakit, hendaklah mengurangkan mengambil makanan masin, mandi dengan air panas, melihat matahari yang terik dan melihat musuh.
Nasihat al-Muluk ada juga mengisahkan tentang kewanitaan. Nasihat al-Muluk telah memberikan beberapa contoh dan panduan kepada raja dan marhain untuk memilih isteri. Terdapat banyak panduan diberikan untuk menilai seorang perempuan yang baik untuk dijadikan isteri. Bagaimanapun, Nasihat al-Muluk telah menyarankan agar perempuan yang dipilih itu mestilah berdasarkan kepada agamanya, bukan kepada paras rupa, harta dan nafsu. Melalui agama, isteri tersebut akan taat pada suaminya dan merupakan dinding kepada api neraka. Selain itu, Nasihat al-Muluk turut memberikan nasihat kepada raja yang memerintah tentang kebaikan dan keburukan perempuan. Banyak kerajaan di dunia yang runtuh kerana seorang perempuan. Kealpaan dan sikap yang suka berpoya-poya menyebabkan negara menjadi huru hara dan menimbulkan perasaan benci rakyat terhadap raja.
Fungsi yang seterusnya ialah sebagai alat pendidikan. Sastera ketatanegaraan dijadikan sebagai alat pengajaran dan pendidikan serta amalan hidup Islam yang tinggi dapat dijadikan contoh. Contoh-contoh teladan diambil daripada sifat tokoh-tokoh Islam, kisah nabi-nabi dari segi kelakuan, sifat, tindak-tanduk, dalam hubungan sesama insan demi keharmonian hidup bermasyarakat.
Bustanul al-Salatin juga menasihati ibu bapa supaya menggalakkan anak mereka membaca bahan bacaan yang berfaedah seperti Bustanul al-Salatin dan Nasihat al-Muluk. Ini dapat dilihat melalui petikan tersebut:
Maka hendaklah anak cucunya sekalian disuruhnya membaca kitab yang keluar daripada ceritera hadis nabi dan hadis segala nabi dicetera daripada pesuruh itu, dan ceritera daripada segala ulama yang muafakat dengan dalil al-Quran dan hadis segala nabi …
(Mulyadi, 1983:23-24)
Kesimpulannya, karya sastera ketatanegaraan ialah dokumen atau buku panduan tentang pentadbiran negara bagi raja dan pembesar Melayu. Penekanan diberikan adalah jelas bahawa raja atau pembesar negara memikul amanah Allah s.w.t sebagai pemimpin kepada rakyat jelata. Pelbagai ganjaran dan pahala yang besar disediakan oleh Allah s.w.t kepada raja atau pembesar yang menjalankan kewajipan dengan baik. Sebaliknya, pelbagai azab dan balasan buruk akan diterima oleh raja atau pembesar negara yang gagal melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.
Karya ketatanegaraan meninggalkan pengaruh yang besar dalam perkembangan kesusasteraan Melayu tradisional mahupun dalam amalan kehidupan raja serta pembesar negara. Ungkapan bahawa raja sebagai “bayangan tuhan di dunia” besar kemungkinan adalah pengaruh daripada karya ketatanegaraan.
Kewujudan karya ketatanegaraan dalam khazanah kesusasteraan Melayu tradisional merupakan petunjuk tentang kepentingan nilai tatasusila dan keharmonian dalam kehidupan istana Melayu zaman silam. Walaupun genre tersebut berasal daripada tradisi keilmuan Islam dan mengandungi cerita moral yang berasal dari negara luar tetapi panduan pentadbiran dan cerita didaktik yang dipaparkan bersifat sejagat dan sesuai dijadikan teladan oleh raja Melayu dari dahulu hingga sekarang.
Dalam konteks yang lebih luas, karya ketatanegaraan Melayu boleh menjadi bahan rujukan penting dalam pembentukan dasar pemerintahan negara, perlaksanaan sistem undang-undang dan pembinaan jati diri bangsa pada zaman moden kini. Keunikan dan ketinggian nilai karya ketatanegaraan dalam membariskan pelbagai panduan dan nasihat kepada para pemerintah negara sewajarnya memberikan iktibar kepada raja dan pembesar Melayu dalam melaksanakan tugas mereka.
BIBLIOGRAFI
Muhammad Haji Salleh. Taj al-Salatin. Johor: Yayasan Warisan, 2001.
Nuruddin al-Raniri, Jelani Harun. Bustan al-Salatin: Kisah raja-raja yang adil. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2008.
Jelani Harun. Pemikiran adab ketatanegaraan Kesultanan Melayu. . Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003.
Ghazali. Nasihat al-Muluk. Oxford: University Press, 1964.
NOVEL MERDEKAKAN CINTA KARYA AMINAH MOKHTAR
Sesungguhnya penciptaan manusia adalah lengkap dan sempurna sebagai mana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, samada lelaki atau perempuan kerana setengah kamu adalah keturunan dari setengahnya yang lain…”
(Surah Al-Imran, ayat 195)
Di sudut Islam, martabat kaum wanita tidak pernah dipandang rendah tetapi tidak pula menyamakan antara lelaki dan perempuan. Apa yang penting Islam menghormati kaum wanita dan mengangkatnya kepada darjat yang tinggi mengikut lunas-lunas Islam. Ini dapat dibuktikan dalam surah tersebut:
Barangsiapa mengerjakan amal-amal soleh, baik lelaki mahupun wanita sedang ia orang yang beriman, maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikiT...
(Surah An-Nisa’: ayat 124)
Bagi memastikan pembangunan berjalan dengan lancar, maka peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumabangan wanita dari pelbagai aspek kehidupan seperti ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara-negara di dunia begitu dominan sekali. Antara wanita yang hebat di dunia ini ialah Magaret Thatcher, Indra Ghandi, Benazir Bhutto, Siti Khadijah dan sebagainya yang sudah menjadi sinonim kepada pembangunan negara mereka.
Senario kepimpinan wanita dalam sesebuah negara telah merebak ke dalam sistem pentadbiran di Malaysia. Kaum wanita telah diberi peluang dalam memegang beberapa portfolio dalam kabinet seperti Datin Paduka Rafidah Aziz, Datin Paduka Zaleha Ismail, Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dan Datuk SerI Shahrizat Abdul Jalil. Penglibatan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara sememangnya tidak dapat disangkal. Hal ini demikian kerana sebahagian besar dalam sektor pekerjaan telah didominasi oleh kaum wanita.
Novel Merdekakan Cinta telah memperlihatkan peranan wanita dalam pelbagai bidang. Setiap watak wanita yang dipaparkan dalam novel tersebut mempunyai peranan masing-masing. Hal ini dapat dilihat dalam sinopsis cerita tersebut:
Cinta itu suatu yang indah. Bertambah indah apabila berakhir dengan perkahwinan. Namun, bagaimana dengan cinta yang tidak kesampaian. Tentunya sakit dan mengecewakan. Begitulah yang terjadi kepada percintaan Embun dengan Hamidi. Ikatan yang dibina atas dasar cinta pandang pertama terpaksa putus di tengah jalan demi pertimbangan masa depan, pengisian kemerdekaan atau kepentingan diri. Biarlah mereka berdua merana demi cinta tetapi generasi mendatang penuh ilmu di dada.
Dari sinopsis yang dipaparkan, menunjukkan pengarangnya iaitu Aminah Mokhtar ingin menonjolkan peranan wanita di dalam novel tersebut. . Novel ini telah diterbitkan pada 2008. Novel ini juga pernah menjadi Pemenang Hadiah Sagu Hati Sayembara Mengarang Novel Sempena 50 Tahun Merdeka.
Aminah Mokhtar lahir pada 4 Oktober 1959, di Muar Johor. Selepas menamatkan pengajian menengah di peringkat STPM, beliau ditawarkan sebagai Jururawat Pelatih. Kemudian beliau menyambung pengajian kejururawatan sehingga memperoleh Diploma Sains Kejururawatan. Kini beliau sebagai Jururawat Terlatih di Wad Bersalin, Pusat Perubatan Universiti Malaya. Beliau boleh menulis dalam pelbagai genre iaitu novel, cerpen, puisi dan skrip drama TV. Namun yang paling menyerlah ialah dalam genre cerpen dan novel. Beliau juga pernah memenangi banyak anugerah dalam penulisannya. Antaranya beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2000 dan 2001, Hadiah Sastera Utusan – Exxon 2002, Hadiah Sastera Perdana dan sebagainya.
Berdasarkan sinopsis tersebut juga, menunjukkan peranan wanita yang sanggup berpisah dengan kekasihnya demi mencapai cita-cita dan mendidik anak bangsanya. Oleh itu kertas kerja ini akan membincangkan peranan wanita muslim yang terdapat dalam novel Merdekakan Cinta. Peranan wanita yang terdapat dalam novel ini antaranya peranan dari segi sosial, politik, ekonomi, dan kepada keluarga. Peranan wanita yang telah ditonjolkan dalam novel ini telah mengangkat martabat kaum wanita dalam pembangunan negara bangsa.
Peranan Wanita dalam Pembangunan Sosial
Pembaharuan yang dicapai oleh negara sekaligus menuntut perubahan dalam apa jua tindakan yang diambil. Perubahan minda dan gaya hidup masyarakat, turut menuntut kaum wanita agar membuat keputusan yang selaras dengan kehendak komuniti. Selaras dengan ini, kaum wanita perlu bangkit dengan wajah baru bagi mendapatkan hak yang sewajarnya dalam masyarakat. Wanita bukan lagi sebagai pendukung dan penyokong kepada setiap keputusan yang diambil oleh kaum lelaki. Tetapi wanita perlu juga diberi tempat dalam membuat sesuatu keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial.
Perumpamaan yang menyatakan "tangan wanita yang membuai buaian boleh menggegarkan dunia" adalah landasan yang menggambarkan betapa besarnya peranan kaum wanita dalam pembangunan negara apabila kita memperkatakan tentang kaitan wanita dalam bidang sosial. Dengan senario yang melanda negara dengan isu-isu gejala sosial yang melibatkan anak-anak gadis seperti bohsia, lari dari rumah, gadis yang murtad, bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan atau GRO, penderaan, perkosaan memberikan kita juga gambaran bahawa pentingnya lagi peranan kaum wanita dalam membasmi gejala-gejala ini demi menjamin pembangunan yang seragam dari pelbagai segi.
Jelasnya apabila kita membicarakan soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini, ianya harus diukur dari segi tahap kemampuan warganegara terutama kaum wanita. Memang tidak dapat dipersoalkan lagi bahawa peranan kaum wanita dalam pembangunan yang berperspektif sosial perlu di teliti. Ini kerana ianya akan menentukan ke manakah arah perkembangan anak-anak yang kebanyakkannya dididik oleh kaum wanita yang digelar ibu. Oleh itu peranan wanita dalam keluarga dan masyarakat jelaslah amat penting dalam membangunkan ummah serta negara.
Dari segi amalan sosial ini, kaum wanita berperanan mempersiapkan diri dengan ilmu yang bukan hanya tertumpu kepada ilmu undang-undang dan politik tetapi juga ilmu syariah. Ilmu tersebut akan membawa kepada keimanan dan akhirnya melahirkan amalan-amalan yang baik bagi membentuk sebuah masyarakat madani. Justeru itu bagi alaf abad ke 21 ini merupakan pemangkin bagi penghijrahan bagi kaum wanita agar berjaya memikul tanggungjawab ini dalam membentuk sebuah masyarakat yang berketrampilan dan bukannya membentuk sebuah masyarakat yang ekstrim. Dalam novel “Merdekakan Cinta” watak Cempaka yang sangat menjaga akhlaknya. Cempaka tidak mudah terpengaruh dengan persekitarannya. Cempaka juga sangat bertanggungjawab untuk menjaga maruah dirinya. Hal ini dapat dilihat seperti petikan berikut:
Dia ingin memegang tanganku, cepat-cepat aku tarik. “Maaf aku tak pakai sarung tangan.” Dia menunjukkan sarung tangannya. Aku tergelak dan dia genggam tanganku beralaskan sarung tangan. “Sampai bila aku pegang tangan kau dengan sarung tangan?” “Sampai kau sudah selamat salam tangan tuk kadi.” (Merdekakan Cinta:300)
Selain itu, peranan wanita juga dapat dilihat menerusi watak Nenek Bunga. Nenek Bunga merupakan seorang ibu yang penyayang dan bertangunggjawab. Semasa di zaman Jepun, nenek Bunga menyembunyikan anak-anaknya iaitu Nilam dan Delima supaya tidak ditangkap oleh Jepun serta Ludin yang ingin memperkosa Nilam. Ini menunjukkan bahawa Nenek Bunga sangat menyayangi anaknya seperti sayang kepada nyawanya sendiri. Ini boleh dibuktikan melalui contoh yang berikut:
Kapal terbang berlegar-legar di udara. Tembakan datang dari segala sudut. Letupan bom yang menggegar, serasa nyawa ditubuh melayang. Ketika itu Bunga datang ke rumah Mak Su Hendon, adik bongsu Tuk Wil yang dua tiga pelaung dari rumahnya. Bunga terpaksa hantar ubi kayu dan ikan kering ke situ. Sejak suaminya ditangkap Jepun, Tuk Wil semakin risau memikirkan hidupnya. Bila keadaan mula reda, Bunga keluarkan Nilam dan Delima dari kubu bawah tanah, dicoreng-corengkan muka dan berjalan cepat-cepat ke rumah Maksu Hendon.
(Merdekakan Cinta: 137)
Peranan Wanita dalam Bidang Politik
Menerusi cetusan idea wawasan 2020, ternyata hasrat kerajaan untuk menjadikan wanita Malaysia sebagai sebuah negara maju begitu tinggi sekali. Perbagai perubahan telah, sedang dan akan dilakukan untuk mencapai matlamat tersebut. Ini termasuk di dalam politik negara supaya sistem perundangan dan pentadbiran negara dapat berjalan dengan lancar tanpa wujud sebarang pertelingkahan serta bangkangan yang boleh membantutkan pembangunan negara. Oleh yang demikian penglibatan semua pihak adalah amat diambil berat untuk menguruskan pembangunan negara. Dan ini tidak terkecuali penglibatan kaum wanita di dalam pembangunan negara.
Apabila membicarakan politik, Iman Al-Ghazali mendefinisikan politik sebagai suatu kehidupan manusia. Setiap manusia yang berkecimpung dalam bidang politik memerlukan diri mereka terlibat dengan masyarakat. Justeru itu, politik amat berkait rapat di antara individu dengan masyarakat. Oleh yang demikian apabila wanita melibatkan diri di dalam politik menyebabkan penyertaan mereka di dalam bidang-bidang di luar rumah tangga untuk bersama dengan masyarakat untuk turut sama menyumbangkan kepada pembangunan negara.
Di Malaysia khususnya apabila kaum wanita terutama kaum muslimah melibatkan diri di dalam bidang politik untuk sama-sama membangunkan negara maka akan terdengar pelbagai pandangan akan penglibatan mereka. Maka timbulah pelbagai persoalan dari penglibatan mereka dalam politik seperti sejauhmanakah Islam membenarkan kaum muslimah bergerak cergas dalam arena politik ? Bolehkah seseorang muslimah bertanding untuk menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen ? Adakah Islam merestui wanita dilantik menjadi Perdana Menteri sebagaimana yang berlaku di setengah-setengah negara hari ini seperti Pakistan ?.
Oleh yang demikian maka timbulah aliran–aliran pemikiran berhubung dengan penyertaan wanita dalam lapangan politik. Aliran pertama berpendapat bahawa wanita diharamkan menceburi politik dengan memberi alasan iaitu pada zaman nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, tidak ada seorang pun dari kalangan wanita yang diajak untuk membincangkan masalah-masalah yang berhubung dengan urusan negara atau hukum syarak bersama dengan kaum lelaki.
Oleh yang demikian jika diteliti akan peranan yang boleh diberikan oleh wanita dalam membangunkan negara khususnya dari segi politik antaranya ialah wanita itu boleh menjadi penasihat kepada suami mereka. Ini dapat kita lihat jika seseorang wanita itu bersuamikan orang politik maka ianya boleh melibatkan dirinya secara tidak langsung dengan memberi nasihat dari segi keputusan yang telah dibuat atau dilaksanakan oleh suaminya yang mungkin tidak bersesuaian dengan kaum wanita yang mungkin tidak sesuai dengan pembangunan.
Sebagai contoh mungkin di setengah-setengah negeri tidak membenarkan kaum wanita melibatkan diri mereka secara aktif dalam bidang perniagaan yang bertentangan dengan ajaran agama dan adat sopan. Sebagai isteri mereka boleh memberi pandangan bahawa peraturan yang dilaksanakan itu mungkin tidak bersesuaian dengan kehendak pembangunan masa kini yang mahukan kaum wanita sama-sama melibatkan diri dalam arus pembangunan negara. Ini adalah dikhuatiri wanita yang menceburi bidang politik tidak dapat mengawal batas-batas agama seperti pergaulan bebas dengan lelaki yang boleh membawa kepada kerosakan akhlak dalam masyarakat yang seterusnya akan membantutkan pembangunan negara.
Hadis Nabi Muhammad s.a.w ada menjelaskan bahawa
"Tidak akan beroleh kemenangan suatu kaum yang melantik wanita menjadi ketua bagi menguruskan hal ehwal mereka".
Manakala aliran yang kedua pula adalah berpendapat wanita boleh berpolitik untuk pembangunan dan kemajuan negara dan umat keseluruhanya. Menurut sebahagian ulama wanita boleh berpolitik termasuk menjadi wakil rakyat sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. Malah dalam sejarah sendiri telah tercatit bahawa khalifah Umar ibn Al khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan undang-undang dan pentadbiran negara dari kaum muslimah pada masa zaman pemerintahan khalifah. Ini menunjukkan peranan wanita dalam pembangunan sesebuah negara adalah tidak boleh disisihkan dan diketepikan.
Demikian juga wanita boleh melibatkan diri untuk membangunkan negara secara aktif melalui pelbagai pertubuhan NGO seperti PERTIWI dan HAWA. Melalui pertubuhan-pertubuhan inilah mereka boleh menyalurkan pelbagai ideal dan cadangan dalam usaha untuk membangunkan negara sama ada dari segi pendidikan, keagamaan, sosial, budaya dan ekonomi. Melalui NGO juga mereka boleh membantu membangunkan negara dengan memastikan kesejahteraan dan keharmonian masyarakat terutamanya mengemaskinikan undang-undang dan akta-akta yang boleh mengawal kemakmuran.
Selain itu wanita juga boleh memainkan peranan membangunkan negara melalui ideal-ideal yang dikemukakan menerusi bidang penulisan. Ini adalah merupakan jalan yang terbaik bagi wanita kaum muslimah yang terkongkong oleh peraturan serta hukum yang tidak membenarkan mereka bergaul secara bebas dengan golongan bukan muhrim mereka serta perlu menjaga dan mengawal aurat mereka daripada dicerobohi. Oleh itu menerusi penulisan dengan mengemukakan pandangan dan pendapat diharapkan ianya akan dapat membantu dalam mentadbir negara. Menerusi penulisan juga mereka berpeluang mengemukakan pandangan serta komen ke atas pembangunan yang sedang dilaksanakan dan telah dilaksanakan samada bersesuaian dengan peredaran zaman dan kehendak negara.
Dalam novel “Merdekakan Cinta” karya Aminah Mokhtar peranan wanita dalam bidang politik dapat diperlihatkan menerusi watak Bunga yang telah melibatkan diri dalam bidang politik secara aktif. Pada tahun 1951, Bunga telah berhimpun bersama-sama Ibu Zain yang baru saja mengambil alih kepimpinan Pergerakan Kaum Ibu UMNO daripada Datin Putih Mariah. Semasa tahun 1956 pula, Bunga telah dilantik menjadi Ketua Kaum Ibu UMNO cawangan Kampung Teluk Tanjung. Hal ini dapat dibuktikan melalui contoh yang berikut:
Bunga dilantik jadi Ketua Kaum Ibu UMNO Cawangan Kampung Teluk Tanjung. Turut jadi ahli cawangan yang dipecat Khadijah Sidek yang pro-Indonesia. Khadijah Sidek sertai PAS dan jadi ketua Dewan Muslimat PAS. Perikatan Pemuda UMNO sebulat suara lantik Kapten Hussein Onn jadi ketua yang pertama. Seramai 2000 orang pemuda adakan perbarisan diketuai Hj Ahmad Badawi Abdullah Fahmi. Dato’ Abdul Razak Hussien kemudian ambil alih pimpinan.
(Merdekakan Cinta:154)
Selain itu, dapat diperhatikan juga watak Bunga dalam bidang politik yang menyokong perjuangan politik ayahnya iaitu Tuk Wil yang telah banyak terlibat dalam beberapa organisasi politik tanah air. Bunga sangat menghargai pengorbanan ayahnya itu dan telah memberi kata-kata semangat kepada ayahnya dalam memperjuangkan tanah air terutamanya semasa masuk dalam gerakan Tentera Selempang Merah untuk menentang Bintang Tiga yang ketika itu bermaharaja lela di Tanah Melayu. Bukti ini dapat dilihat dalam petikan yang berikut:
“Ayah dah masuk gerakan Tentera Selempang Merah.” Suara Tuk Wil penuh bersemangat, beritahu Bunga. “Kalau ayah tak balik malam ini, jaga anak-anak baik-baik.”
“Ayah berjumpa di mana? Bunga masih Khuatir. Bunga masih khuatir. Bunga nampak air mata tuk Wil berlinang.
(Merdekakan Cinta: 182)
Peranan Wanita dalam Bidang Pendidikan
Wanita memainkan peranan yang penting di dalam pelbagai bidang khususnya dalam bidang pendidikan. Peranan wanita dalam bidang pendidikan boleh dilihat dari dua perspektif, iaitu perspektif barat dan perspektif Islam.
Dari perspektif barat, golongan cendiakawan dan ahli-ahli falsafah barat beranggapan bahawa wanita adalah insan yang lemah, kurang dan hina. Oleh yang demikian wanita tidak boleh disama tarafkan dengan kaum lelaki. Pengaruh ahli falsafah yang begitu kuat telah mendorong ahli fikir serta ketua-ketua masyarakat barat pada ketika itu tidak membenarkan anak-anak perempuan diberi pendidikan atau pengajaran di dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.
Menurut Rosseau, beliau mengatakan bahawa "wanita itu tidaklah dijadikan untuk ilmu pengetahuan, untuk hikmat, untuk berfikir, untuk mempunyai keahlian, untuk menjadi sarjana dan tidak pula untuk berpolitik atau untuk tugas negara, tetapi ia dijadikan hanya untuk menyusukan anak-anaknya dengan air susunya dan…".
Oleh yang demikian, peranan wanita sebagai pendidik tidak begitu ketara kerana pelbagai kerjaya telah didominasi oleh kaum lelaki. Dipercayai bahawa kerjaya kaum wanita dalam bidang pendidikan telah bermula pada tahun 1600, tetapi ianya hanya cenderung untuk mendidik anak-anak.
Manakala menurut perspektif Islam, Islam telah menyebarkan dasarnya dengan jelas mengenai wanita di dalam segala aspek kehidupan terutamanya di dalam bidang pendidikan. Rasullullah S.A.W. bersabda, "mempelajari ilmu itu wajib bagi setiap orang Islam, lelaki dan perempuan". Dasar ini telah ditegaskan sejak kemunculan Islam pada abad ke enam Masihi, dan ianya masih terpakai dan terus menjadi tunjang kepada dasar pengajaran Islam hingga kehari ini.
Islam bukan sahaja meletakkan wanita di tempat yang paling wajar sebagai manusia dan sebagai teman hidup bagi seorang lelaki, tetapi Islam menghargai sifat kehalusan dan ketajaman perasaan wanita yang menjadikan mereka layak untuk memegang tugas sebagai seorang pendidik dibandingkan dengan kaum lelaki. Sebab itulah dari satu aspek, wanita lebih penting diberi pengajaran atau pendidikan yang secukupnya kerana kaum wanita merupakan pendidik atau guru yang paling layak untuk mendidik anak-anak dan anak bangsa mereka.
Sesuatu bangsa akan berjaya apabila wanitanya mendapat pendidikan yang lengkap dan tinggi harga diri dan akhlaknya kerana kehalusan sifat wanita serta ketajaman perasaan seseorang ibu boleh memindahkan segala kebaikan yang ada padanya untuk diwarisi oleh anak-anaknya. Menurut seorang ahli falsafah Islam, "bila pendidikan telah begitu lengkap bagi wanita, biarlah kaum lelaki tidak begitu dipentingkan pendidikannya, kerana wanita-wanita itulah kelak akan mendidik kaum lelaki".
Peranan wanita dalam bidang pendidikan di Malaysia, boleh dilihat dengan kemunculan maktab-maktab perguruan. Untuk merealisasikan peranan wanita sebagai seorang pendidik, maka sebuah maktab telah ditubuhkan untuk wanita pada tahun 1935 iaitu Maktab Perguruan Perempuan Durian Daun, Melaka.
Bukti peranan wanita dalam bidang pendidikan menerusi novel “Merdekakan Cinta” dapat dilihat menerusi watak Cik Embun. Cik Embun merupakan wanita Melayu pertama dari daerah Larkin yang dapat memasuki Universiti Malaya di Singapura. Cik Embun juga sanggup mengorbankan cintanya terhadap Encik Hamidi untuk memajukan bangsanya. Hal ini dapat dibuktikan seperti berikut:
“Tanggungjawab saya pada bangsa kita, terlalu besar, Encik Hamidi.” Cik Embun Alaskan selendang biru di telapak tangan, dihulurkan tangan pada Encik Hamidi. “Saya, anak Melayu pertama di Larkin terpilih ke Universiti Malaya.” Air matanya meleleh lagi ke pipi. Tangan yang dihulur kejap dalam pegangan Encik Hamidi, ditarik semula dan hujung selendang di sapu ke pipi. “Apalah maknanya merdeka, kalau saya tidak dapat merdekakan bangsa saya daripada terus dijajah perasaan takut untuk berjaya, Encik Hamidi.”
(Merdekakan Cinta: 193/194)
Setelah menamatkan pengajiannya, Cik Embun telah menjadi profesor bahasa dan budaya, membina peradaban bahasa bangsa dari Larkin ke Singapura. Dari Singapura ke Oxford. Dari Oxford ke Willington, menduduki kerusi pengajian Melayu tertinggi di dunia, di New Zealand. Ini menyebabkan Cik Embun sangat dihormati oleh masyarakat kerana pengorbanannya dalam mendidik anak bangsa.(ms 189)
Selain itu, peranan wanita dalam pendidikan dapat dilihat pada watak Mak Melor yang telah mendidik cucunya yang merupakan anak Leha untuk menjadi seorang yang berguna. Antara cucu yang dipelihara dan dididik olehnya ialah Aiman, Liana dan Haziq. Tetapi Mak Melor juga telah menghantar tiga lagi cucunya ke rumah kebajikan persendirian yang telah diusahakan kawan kerabat Cikgu Jun. Bukti ini dapat dilihat pada petikan di bawah:
Barulah aku tahu, rupa-rupanya, tiga orang adik-adik Aiman itu tinggal di rumah kebajikan persendirian yang diusahakan oleh kawan kerabat Cikgu Jun. Mak Melor hantarkan mereka ke sana atas pujukan Cikgu Jun dengan alasan anak-anak itu pintar dan tidak mahu pelajaran mereka terganggu seperti Aiman.
Peranan Wanita dalam Ekonomi
Ekonomi merupakan sesuatu yang amat penting bagi sesebuah negara. Kekayaan, status dan jatuh bangunnya sesebuah negara adalah bergantung kepada kepesatan ekonomi yang dialaminya. Wanita telah memainkan peranan yang besar dalam aktiviti ekonomi dunia dan sesebuah negara melalui peranannya yang produktif dan reproduktif. Penglibatan wanita dalam ekonomi telah meningkat tidak hanya pada emansipasi (pembebasan dari prasangka dan kongkongan) malah mengambil berat akan keperluan ekonomi. Malangnya kebanyakan penglibatan wanita dalam ekonomi masih di bawah nilai sebenar, kerana pekerjaan wanita tidak mudah diukur dari pengumpulan data secara sistem tradisional.
Dalam novel “Merdekakan Cinta” peranan wanita dari segi ekonomi dapat dilihat menerusi watak Nilam iaitu anak kepada Bunga dan Hassan. Nilam merupakan seorang yang pakar perunding penganalisis dan perancang ekonomi di Malaysia. Kehebatannya ini terhasil dari didikan Tuk Will yang telah menghantar Nilam ke sekolah Inggeris walaupun ditentang oleh emaknya. Hal ini dapat diperhatikan menerusi petikan di bawah:
Aku pandang muka maksu Nilam. Perunding penganalisis dan perancang ekonomi itu buatkan aku bangga jadi sebahagian daripada keturunan Tuk Will.
(Merdekakan Cinta: 280)
Petikan di bawah menunjukkan pertelingkahan kecil antara Bunga dan Tuk Will:
Tuk Will tetap dengan kata hatinya. “Sebab itu ayah nak hantar mereka ke sekolah Inggeris.”
Bunga mengeluh lagi, hatinya semakin kecewa. “Tapi…”
Tuk Will tetap bertegas. “Kenapa? Kau ingat budak-budak perempuan
Melayu hanya layak sekolah Melayu?”
“Bunga tak kisah kalau ayah nak hantar Mat Jais dan Mat Ramli ke
sekolah Inggeris, tapi janganlah hantar Nilam dan Delima.”
(Merdekakan Cinta: 303)
Peranan Wanita dalam Keluarga
Dalam membincangkan peranan wanita dalam keluarga, perubahan telah berlaku pada peranan wanita sebagai isteri di dalam rumahtangga moden hari ini. Secara traditional peranan isteri adalah untuk mentadbir hal-ehwal rumahtangga dan keluarga tetapi dengan timbulnya cara hidup baru berlakulah perubahan tertentu yang meluaskan lagi peranan para isteri.
Sekiranya diteliti peranan itu wanita sebagai ibu di dalam sistem kekeluargaan bukanlah semata-mata untuk menjaga makan-minum, kesihatan dan keselesaan hidup anak-anak tetapi juga yang terpenting ialah untuk mendidik, mengasuh dan membimbing. Ini kerana kesan kepada didikan pada anak-anak itu akan memberikan manafaat kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara secara keseluruhannya. Sesunguhnya watak, keperibadian anak-anak terletak sebahagian besar di atas isi dan cara pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Di dalam hal ini Rasullullah s.a.w dalam hadisnya mengatakan;
" Tiap-tiap anak Adam itu di lahirkan dalam keadaan fitrah sehingga kedua ibu
bapanyalah yang akan menjadikannya seorang Nasrani, Yahudi ataupun Majusi" (Al-Hadis).
Dalam novel “Merdekakan Cinta” peranan wanita dalam keluarga dapat dilihat pada watak Bunga. Bunga sanggup bekerja keras untuk menyara kedua-dua anaknya. Bunga sanggup menanam ubi, pisang, keladi di hutan pada zaman Jepun untuk memberi makan kepada anaknya. Hal ini dapat dilihat petikan tersebut:
Barangkali dekat dengan Bukit Kangkar dan hujung kampung Telok Tanjung, atau barangkali di sinilah dahulu tempat nenek Bunga mengail ikan, bertanam ubi, pisang dan keladi di zaman Jepun, ketika tempat ini masih lagi hutan. (Merdekakan Cinta: 250)
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, dapat dilihat peranan wanita amatlah besar dalam sama-sama berganding bahu dengan kaum lelaki dalam pembangunan negara. Rasanya tidak lengkap sekiranya tugas pembangunan negara hanya disandarkan di bahu lelaki kerana pembangunan itu amat luas. Pembangunan sesebuah negara itu bukanlah hanya semata-mata merujuk pada pembangunan ekonomi tetapi meliputi pembangunan dari segi sosial, sahsiah dan pembangunan ummah. Justeru, untuk menampilkan imej wanita sebagai berketerampilan selain memiliki ilmu, wanita juga hendaklah memiliki sifat ketakwaan. Melalui ilmu, seorang wanita mampu mempertingkatkan kualiti diri sebagai wanita mithali yang dapat menyumbangkan kearah pembangunan negara.
Dalam novel Merdekakan Cinta diperlihatkan peranan setiap wanita sama ada watak utama dan watak pembantu. Wanita memainkan peranan masing-masing untuk menggerakkan sesebuah cerita. Contohnya peranan wanita dari segi politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan keluarga. Ini memperlihatkan peranan wanita amatlah penting dalam kehidupun sehari-hari.
Memang diakui wanita sendiri kadang kala tidak dapat melakukan sesuatu kerja sepertimana lelaki namun dalam sesetengah keadaan golongan lelaki juga tidak boleh melakukan sesuatu kerja yang boleh dilakukan oleh wanita. Justeru, kita harus ingat bahawa tanggapan ini harus dibuat secara positif dan rasional. Kita tidak harus meletak wanita sebagai golongan lemah kerana mereka juga berkemampuan dan berkredibiliti. Wanita sebagai isteri, ibu dan tidak kurang sebagai pemimpin. Peranan mendidik generasi serta kerjasama semua pihak samada dalam keluarga, tempat kerja, jiran tetangga dan masyarakat setempat perlu diperhebat untuk menjadikan wanita kepada penyumbang pembangunan negara seperti yang diperlihatkan dalam novel Merdekakan Cinta.